nuff

Saturday, November 7, 2009

Bencana Alam Pengajaran Buat Yang Mahu Berfikir


Pada tanggal 30 September 2009 rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter telah mengegar Padang di pulau Sumatera Indonesia yang mengakibatkan 704 mangsa mati { lebih 1000 kematian telah dicatatkan pada 15 Oktober} dan sehingga 4,000 terperangkap di bawah runtuhan. Selang beberapa jam satu gegaran sekuat 7.0 pada skala Richter telah mengegar bahagian selatan Sumatera. Sebelum kejadian tersebut diberitakan pada 29 September telah berlaku tsunami ekoran gempa bumi 8.0 skla Ricter di Samoa yang membunuh hampir 200 nyawa sementara beratus-ratus dilaporkan hilang. Tsunami turut melanda Tonga di Kepulauan Pasifik yang mengorbankan 177 nyawa. Kemudian beberapa siri gegaran turut dilaporkan selepas itu termasuk di Mexico {5.6 skala Richter} Taiwan serta Filipina masing-masing dengan kekuatan 6.3 skala Richter.

Sainstis menyatakan bahawa gempa bumi besar di wilayah itu berlaku disebabkan geseran plat Indo-Australia dan plat tektonik Erusia yang bergerak menghala satu sama lain pada kadar sehingga enam sentimeter setiap tahun.


Semua berlaku dengan izin Allah…..

Walaubagaimanapun teori (kadang-kadangnya silap) yang dikemukan oleh ahli saintis terhadap fenomena yang berlaku namun yang jelasnya bagi aqidah kita, semua yang berlaku berada di bawah kekuasaan dan pengetahuan Allah. Semua telah ditentukan, bumi bergoncang, angin bertiup bahkan bilakah berlaku gempa bumi, di wilayah mana, kekuatan berapa, berapa mangsa yang meninggal, berapa yang terselamat dan tercedera.

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang gaib; tak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lohmahfuz).” { al Ana’am : 59}


Pengajaran kepada manusia

Bagi setiap mu’min segala peristiwa hendaklah diperhatian, jangan butakan mata serta matahati dengan tak ambil kisah apatah lagi ianya berlaku di tempat orang lain. Mu’min yang peka mesti mengambil I’tibar dan pengajaran ke atas semua yang berlaku mudah-mudahan ianya member manfaat untuk dirinya sendiri dan juga kepada masyarakat secara umumnya.

1. Apabila sesuatu kadar yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t akan berlaku ianya akan berlaku tanpa ada kuasa lain yang akan menahannya. Dengan Kun Fayakun maka bergoncanglah bumi, air sungai melimpah serta bangunan jatuh menyembah bumi.
2.Supaya manusia tahu tentang hakikat dirinya sendiri, jangan tertipu dengan kehebatan ilmu yang dimiliki sehingga ada yang sombong seolah-olah boleh menguasai undang-undang alam. Dengan berlakunya beberapa siri bencana alam sepatutnya para saintis berfikir bahawa ada kuasa yang mengatasi semua ilmu manusia bahkan apa yang mereka ada hanyalah sedikit sahaja. Manusia sebenarnya makhluk lemah yang tidak dapat melakukan semua benda untuk menyelamatkan dirinya sendiri. Betullah seperti apa yang dikatakan oleh Saidina Ali : “malang sekali nasib anak Adam, ia disakiti oleh seranggan mikro, dibunuh oleh angin panas yang datang dari Afrika dan dilemahkan oleh peluhnya sendiri. “Manusia dijadikan bersifat lemah.” {an Nisa’ : 28}
3.Manusia sepatutnya lebih arif tentang nilai dunia yang menjadi rebutan. Ianya seolah lalat yang mengerumi sampah sarap yang tidak berguna langsung. Dunia yang menjadi rebutan akan hilang dalam sekelip mata sahaja, manusia berada di dalam istana impiannya tetapi tidak mengetahui bahawa sekejap lagi istana tersebut akan dihanyutkan di dalam banjir besar yang akan datang. Manusia menjangkakan akan terselamat tetapi sebenarnya maut lebih hampir dari tengkoknya.
4.Mengingatkan tentang kedahsyatan hari Qiamat , kalaulah gegaran 5-9 skala Richter hanya beberapa saat, apakata kalau 10-20 skala Richter dalam beberapa minit. “Maka jadilah gunung-gunung seperti kapas yang berterbangan ditiup angin.” Saat yang sangat genting dan menakutkan sekali sehingga Allah mengambarkan apabila tibanya waktu itu ibu-ibu akan meninggalkan anak yang sedang menyusu, bayi-bayi di dalam kandungan akan keguguran, mungkin tertanya oleh kita hari apakah itu? Itulah hari penghabisan dunia bila ianya berlaku maka kekuatannya berkali-kali ganda.

Bencana dan maksiat

Secara umumnya ramai di kalangan manusia yang tidak beriman menganggapkan setiap bencana alam yang melanda dunia adalah semata-mata fenomena alam, tiada kaitan secara langsung atau tidak langsung terhadap tindakan dan amalan manusia. Balasan terhadap amalan dunia hanya akan diterima di akhirat bukannya di dunia.

Sebenarnya ini adalah satu sangkaan yang salah dan bertentangan dengan nas al Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t telah menjelaskan di dalam al Quran bagaimana sebuah kampung akan dilanda musibah hanya disebabkan amalan maksiat yang dilakukan oleh penduduk kampung tersebut

“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk) nya mengingkari nikmat-nikmat Allah; karena itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.” {an Nahl : 112}


Allah telah memberi segala kesenangan dan kemewahan kepada manusia tetapi apakah balasan manusia terhadap tuhannya? Mereka semakin ganas gara-gara mengikut hawa nafsu. Lalu apakah balasan dari Allah? Lebih baik merampas kembali pemberiaan dengan mendatangkan bala seumpama kelaparan dan ketakutan.

Bala bukan sahaja melalui bencana alam seperti yang berlaku kepada kaum Nabi Lut a.s, bahkan ianya juga mungkin terjadi dengan ketakutan dan keresahan yang membelenggu masyarakat. Kebimbangan terhadap keselamatan nyawa, ahli keluarga, serta kehilangan harta benda sebenarnya itu adalah satu bala.

“Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, “. {Taha : 124}

Menurut Syeikh Yusuf al Qardhawi akibat daripada manusia meninggalkan syariah yang diturunkan oleh Allah bahkan menentangnya maka Allah telah menurunkan bala ketakutan yang menyelubungi kehidupan manusia hari ini. Semuanya berpunca dari maksiat yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri.

Golongan salafussoleh yang terdahulu apabila datangnya musibah, kepayahan dan kesusahan mereka akan beristighfar memohon ampun kerana bimbang kelalaiannya yang menyebabkan turunnya musibah dari Allah s.w.t. Allah telah menceritakan tentang doa Nabi Adam ketika diperintahkan turun ke bumi .

“Wahai tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami, jika sekiranya kamu tidak mengampuni kami maka termasuklah kami di kalangan orang-orang yang rugi.”


Oleh itu saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga kepada sahabat-sahabat supaya sentiasa muhasabah diri tentang kelalaian yang telah dilakukan. Hisablah diri masing-masing terhadap tanggungjawab kita terhadap Allah, adakah kita telah laksanakan sebaik-baik perlaksanaan tanggongjawab hamba terhadap penciptanya? Tanggongjawab dakwah adakah kita telah melaksanakan tanggongjawab sebagai dai untuk menyelamatkan umat dari kehancuran dan kebinasaan? Kalau belum lagi kita bimbang kelalaian itulah penyebab kepada bencana yang melanda umat sekarang ini.


http://ismaterengganu.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails